Thursday, December 29, 2011

Fungsi Kata Adjektif

Merujuk kepada pertanyaan Maisarah tentang fungsi kata adjektif, dapat dinyatakan di sini bahawa kata adjektif dapat berfungsi sebagai predikat dan penerang kata nama. Contoh kata adjektif yang berfungsi sebagai predikat boleh dilihat dalam ayat berikut:
Bangunan itu tinggi.
Pemuda itu sedih kerana kematian ibunya.
Kata adjektif yang berfungsi sebagai penerang kata nama pula boleh dilihat dalam ayat berikut:
Bangunan tinggi itu sedang dibina.
Rumah besar di atas bukit dibeli oleh seorang jutawan.

Monday, December 12, 2011

Tentang Awalan Ter-

Merujuk pertanyaan yang dikemukakan oleh Sharul Izwan,awalan ter- mempunyai beberapa fungsi dalam bahasa Melayu. Antaranya membentuk kata kerja sama ada kata kerja aktif atau kata kerja pasif. Bentuk awalan ter- yang membentuk kata kerja aktif lazimnya membawa maksud melakukan sesuatu secara tidak sengaja dapat dilihat dalam ayat berikut:
Lori itu terlanggar pohon di tepi jalan.
Ahmad terpijak paku sewaktu bermain.
Adik tertelan gula-gula.
Bentuk ayat pasif boleh diterbitkan daripada ayat di atas dan binaannya adalah seperti berikut:
Pohon di tepi jalan itu terlanggar oleh lori.
Paku terpijak oleh Ahmad sewaktu bermain.
Gula-gula tertelan oleh adik.
Dalam keadaan lain, penggunaan awalan ter- membentuk kata kerja membawa maksud keupayaan. Contoh ayat:
Pelajar-pelajar tidak terbuat latihan yang banyak itu. (tidak dapat membuat)
Kotak yang berat itu tidak terangkat oleh abang. (tidak dapat mengangkat)
Awalan ter- apabila bergabung dengan kata adjektif akan membentuk kata adjektif yang membawa maksud 'paling'. Contoh:
terbesar - paling besar
tertinggi - paling tinggi

Friday, December 9, 2011

Kata Nama Am Tak Hidup Bukan Institusi Abstrak Berbilang

Soalan daripada Khairul Nizam: Apakah yang dikatakan kata nama am tak hidup bukan institusi abstrak berbilang.

Jawapan:
Dalam hal ini perlu kita melihat kepada kata nama am yang abstrak. Contoh kata nama am yang abstrak berbilang ialah amalan, galakan, pendapat, pukulan, rancangan, senyuman, dan sebagainya. Kata-kata ini boleh didahulukan dengan kata bilangan misalnya beberapa pukulan, dua buah rancangan, banyak galakan dan sebagainya.
Bagi kata nama am tak hidup bukan institusi abstrak tak berbilang tidak boleh disertai dengan kata bilangan contohnya perkataan cuaca, keindahan, kejujuran, kemahuan, roh, udara.

Antara Kata Membekalkan Dengan Berbekalkan

Soalan daripada Khairul Nizam: Frasa mana yang betul antara membekalkan kecantikan atau berbekalkan kecantikan.

Jawapan:
Kata terbitan yang menggunakan imbuhan perlu dilihat dalam konteks makna. Perkataan berbekalkan bermaksud mempunyai sesuatu sebagai bekal contohnya berbekalkan ilmu di dada, berbekalkan kecantikan dan seumpamanya. Perkataan membekalkan pula bermaksud memberikan bekal, menyediakan sesuatu sebagai bekal. Jadi jelas frasa membekalkan kecantikan adalah salah dalam konteks makna.

Antara Kata Kerja Pasif Dengan Ayat Pasif

Soalan daripada Shahrul Izwan: Bagaimana kita dapat mengenal kata kerja pasif dan ayat pasif.

Jawapan:
Untuk mengenal kata kerja pasif tanpa melihat kedudukannya dalam ayat agak sukar. Hanya ada satu penanda yang mutlak kata kerja pasif iaitu kata kerja yang berawalan di- (termasuk berapitan di..kan atau di..i)seperti kata dibeli, diduduki, dijalankan dan seumpamanya.

Selain itu kata kerja pasif ditandai dengan kehadiran kata bantu 'kena' sebelum kata kerja pasif. Contoh ayat:
Budak itu kena langgar (dilanggar)
Barang-barang itu kena curi (dicuri)

Kata kerja pasif boleh juga terbentuk melalui apitan ke..an dengan syarat kata ini membawa maksud kena. Contohnya kebanjiran (kena banjir) kehujanan (kena hujan)dan kecurian (kena curi).

Awalan ter- dan awalan ber- boleh juga membentuk kata kerja pasif jika hadir dalam ayat berikut:
Tembok itu terlanggar oleh lori (terlanggar = dilanggar)
Baju itu belum bergosok. (bergosok = digosok)

Akhir sekali kata kerja pasif bagi kata ganti diri pertama dan kedua. Contoh ayat:
Tugas itu telah saya laksanakan
Buku itu awak baca.

Dalam mengenal ayat pasif pula, kita harus melihat kepada judul ayat atau perkara yang menjadi subjek. Ayat pasif berasal daripada ayat aktif transitif. Apabila membicarakan tentang ayat aktif transitif, binaan ayat ini mengandungi frasa kerja transitif iaitu kata kerja transitif dengan objek. Contoh ayat aktif transitif:
Ahmad menunggang motosikal itu dengan laju.
(menunggang = kk transitif, motosikal = objek)
Apabila dipasifkan ayat tersebut, objek akan menjadi judul ayat:
Motosikal itu ditunggang oleh Ahmad.

Ayat Tanya Tertutup Dan Ayat Tanya Terbuka

Soalan daripada Shahrul Izwan: Apakah perbezaan antara ayat tanya tertutup dengan ayat tanya terbuka?

Jawapan:
Ayat tanya tertutup ialah ayat yang hanya memerlukan jawapan seperti ya, tidak atau bukan. Contoh ayat tanya tertutup:
Diakah yang mengganggu kamu semalam?
Bapa kamu guru?
Dia datang ke sekolah?
Ayat tanya terbuka memerlukan huraian atau penerangan dalam jawapan. Contoh ayat tanya terbuka:
Bagaimana dia melepaskan diri?
Bilakah dia pulang dari luar negeri?
Siapakah yang berkunjung ke rumahmu tadi?
Di manakah dia tinggal?

Unsur Pengguguran Dalam Ayat

Soalan daripada Shahrul Izwan: Kata bersenam dalam ayat "Bersenam dapat menyihatkan badan" berfungsi sebagai kata nama atau kata kerja?

Jawapan:
Dalam ayat di atas kata bersenam ialah kata kerja yang berfungsi sebagai kata nama yang menjadi subjek dalam ayat. Subjek dalam ayat mestilah terdiri daripada kata nama. Sekiranya ada kata lain selain kata nama yang berfungsi sebagai subjek seperti kata kerja 'bersenam', kata itu telah mengalami pengguguran kata nama yang mendahuluinya. Ayat asalnya: Amalan/aktiviti bersenam dapat menyihatkan badan. Hal ini dapat kita lihat juga dalam ayat yang kata adjektifnya berfungsi sebagai kata nama yang menjadi subjek dalam ayat "Merah warna kegemaran saya". Ayat asalnya "Warna merah warna kegemaran saya".